Friday, 18 March 2016

Penyakit Bangunan? Eh bangunan pun ada penyakit ke?

Ketika berada di rumah kediaman atau pejabat anda, ambil sedikit masa untuk perhatikan keadaan siling dan dinding disekitar anda. Adakah anda jumpa tompok-tompok hitam, cendawan-cendawan kecil yang mula menjalar atau perubahan warna yang tidak sekata?


Sekiranya tanda-tanda tersebut wujud, ia bermakna kediaman yang anda duduki mengalami penyakit yang dikenali sebagai sindrom bangunan sakit (SBS). Sindrom ini besar kemungkinan menyumbang kepada pelbagai masalah kesihatan kepada penduduk di dalamnya.


Penyakit Berkaitan Dengan Bangunan


Ingat manusia dan haiwan sahaja yang boleh ada penyakit ke? Bangunan tempat kita bekerja dan tinggal pun ada penyakit tahu tak. Mari kita baca dan tambah ilmu pengetahuan kita tentang jenis-jenis penyakit yang boleh dialami oleh bangunan.

Sebilangan penyakit yang benar-benar dikenal pasti, seperti penyakit Legionnaires, asma, pneumonitis hipersensitiviti, dan humidifier fever, telah dikaitkan secara langsung kepada masalah bangunan khusus. Ini dinamakan penyakit berkaitan bangunan. Kebanyakan penyakit ini boleh dirawat; namun begitu, sesetengahnya mendatangkan risiko serius.

Penyakit Legionnaires merupakan satu daripada penyakit berkaitan bangunan. Ia merupakan satu bentuk pneumonia berbakteria yang dicirikan oleh demam, seram sejuk dan batuk kering yang dikaitkan dengan sakit otot dan kadang-kadang diarea. Penyakit Legionnaires mendapat namanya semasa orang yang menghadiri konvensyen Legion Amerika di Philadelphia dalam bulan Julai 1976 diserang penyakit ini. Demam Pontiac pula adalah penyakit yang kurang serius yang dicirikan oleh demam dan sakit otot tanpa gejala pneumonia.


Bakteria yang menyebabkan penyakit Legionnaires, legionella pneumophila, akan membiak di dalam mana-mana takungan persekitaran yang keperluan nutrient, air dan suhunya dipenuhi, dan memasuki udara apabila tempat tersebut diganggu. Bakteria ini membiak subur pada suhu di antara 25°C dengan 45°C, dengan suhu optimum sekitar 35°C. Walaupun organisma ini terdapat melata dalam alam sekitar, kepekatan di udara hanya sesekali mencapai aras yang cukup untuk menjangkiti subjek biasa.



Menara pendinginan air dan sistem air panas di dalam bangunan telah dikenal pasti sebagai punca utama organisma ini. Tanpa rawatan ke atas air atau tanpa penyenggaraan sistem yang cukup, legionella boleh membiak dan kemudian teragih ke seluruh bangunan melalui sistem pengendalian udara.


Nak tahu apa itu kulat?macam mana boleh terjadi?cara hilangkan kulat bangunan?adakah akan memudaratkan kesihatan kita atau mencacatkan pandangan mata kita sahaja?
tunggu post yang akan datang.......

Thursday, 17 March 2016

Apakah sindrom bangunan sakit?bangunan boleh sakit ke?

Sindrom Bangunan Sakit


Sindrom bangunan sakit adalah istilah yang biasa digunakan bagi penyakit yang berlaku dalam kalangan penduduk akibat kualiti udara dalaman yang kurang baik. Istilah "sindrom bangunan sakit", pertama kali diperkenalkan pada 1970-an, dan penyumbang terbesar pada masa ini mungkin sebahagiannya berpunca daripada peningkatan penggunaan peralatan elektronik dan faktor-faktor lain. Ia digunakan apabila gejala sejumlah besar orang yang menduduki bangunan tertentu, dikaitkan dengan kehadiran mereka di dalam bangunan itu. Dalam kebanyakan kes sindrom bangunan sakit, ianya berlaku di bangunan pejabat, Walaupun begitu ia boleh juga berlaku di dalam bangunan komersial yang lain seperti sekolah, hospital dan bangunan apartmen.

Sindrom bangunan sakit memerihalkan situasi yang penduduk bangunan mengalami akut dan/atau keselesaan yang berkaitan dengan masa yang diluangkan di dalam bangunan tertentu, tetapi tidak ada penyakit atau penyebab khusus yang dapat dikenal pasti. Aduan mungkin boleh tertumpu di dalam bilik atau zon tertentu, atau boleh merangkumi keseleruhan bangunan. Sesetengah daripada bangunan ini mungkin tidak dialih udara secukupnya. Contohnya, sistem pengalihudaraan mekanikal mungkin tidak direka bentuk atau beroperasi untuk menyediakan jumlah pengambilan udara luar yang mencukupi. Umumnya, manusia mempunyai kurang kawalan ke atas persekitaran dalaman di pejabat mereka berbanding dengan persekitaran dalaman di rumah mereka. Justeru terdapat peningkatan insiden masalah kesihatan yang dilaporkan.

Kadang-kadang, penduduk bangunan mengalami gejala yang tidak sepadan dengan corak apa-apa penyakit tertentu dan sukar untuk dikesan apa-apa punca khusus. Fenomena ini dilabel sebagai sindrom bangunan sakit. Gejala yang timbul dalam kalangan penduduk "bangunan sakit" berbeza-beza daripada kerengsaan mata dan hidung, kelesuan, batuk, rinitis, loya, sakit kepala, sakit tekak, sensitif terhadap bau atau gabungan mana-mana gejala tersebut.